Monday 19 December 2011

SAMBUTAN PERAYAAN


"ILMU BELA DIRI TUNGGAK JATI DIRI NEGARA"

PENGENALAN
 
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-45 pada tahun 2010/11 dan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Sains Malaysia (PSSCMUSM) pula akan merayakan ulang tahun ke-35 pada tahun yang sama. Bersempena dengan ini, Program Sambutan Perayaan Ke-35 PSSCMUSM bakal dianjurkan oleh PSSCMUSM. Program ini diadakan bertujuan memupuk kesedaran di kalangan masyarakat dalam dan luar kampus tentang kepentingan mempelajari ilmu seni mempertahankan diri. Ia amat penting terutamanya pada zaman yang serba mencabar untuk menghadapi sesuatu keadaan di luar jangkaan kita. Dengan kerjasama antara ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) USM dan juga pertubuhan seni mempertahankan diri yang lain diharapkan agar mendatangkan kesan positif kepada kita semua.

Seni Silat Cekak Malaysia telah terbukti selama lebih daripada 47 tahun mendidik dan membentuk modal insan yang berkemahiran dan berupaya mempertahankan nilai-nilai agama dan budaya khususnya di zaman yang serba mencabar ini. Di Universiti Sains Malaysia dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain, Seni Silat Cekak Malaysia telah secara proaktif dan berterusan mendokong wawasan IPT dalam melahirkan graduan yang serba boleh, berkemahiran tinggi dan memiliki jati diri serta sahsiah unggul. Sumbangan-sumbangan terutamanya dalam menerapkan kemahiran insaniah menerusi  kegiatan di luar dewan kuliah secara tersusun dan rapi dalam bentuk kegiatan kokurikulum dan persatuan perlu diberikan nilai yang sewajarnya.  Ramai pemimpin masyarakat, ahli koporat, ahli akademik dan para profesional yang telah mempelajari dan beramal dengan Seni Silat ini sebagai bukti kepada sumbangan besar Seni Silat Cekak Malaysia. Institusi-institusi pengajian tinggi negara perlu memberi ruang dan peluang serta memberi pengikhtirafan yang sewajarnya terutama dalam konteks nilai akademik dan pendidikan sahsiah yang berupaya disumbangkan oleh PSSCM. Sumbangan positif Silat Cekak perlu dilihat  dan diberi nilai setimpal dari sudut akademik dan ekonomi agar ia terus subur bukannya dinafikan pemilik dan sumbernya. Seni Silat Cekak Malaysia merupakan satu pergerakan budaya bela diri asli negara yang memiliki nilai warisan dan digerakkan menerusi konsep “Persatuan Perguruan” perlu dilihat dari sudut perlembagaan negara agar isu-isu agama Islam, dan budaya Melayu yang didokong tidak dijadikan asas untuk menyekat dan menafikan yang hak. Bertitik tolak daripada kesedaran inilah, maka tema diatas digunakan untuk sambutan perayaan ini yang meliputi 2 program utama, iaitu:

  • MALAM PENDEKAR
  • KONVENSYEN PSSCM IPT KEBANGSAAN


    OBJEKTIF



    Matlamat utama Malam Pendekar & Konvensyen ini adalah untuk merumus peranan Silat Melayu khususnya Silat Cekak Malaysia dalam menerapkan kemahiran insaniah di IPT dan seterusnya memberi pengikhtirafan akademik dan ekonomi terhadap sumbangannya. Matlamat ini diperincikan lagi menerusi beberapa objektif khusus seperti berikut:

    1. Menyambut Perayaan Ulang Tahun ke-35 penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM, Pulau Pinang.

    2. Merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli seni mempertahankan diri dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT)

    3. Memperkenalkan Seni Silat Cekak Malaysia kepada masyarakat kampus dan luar kampus sebagai sebuah badan silat yang berusaha mendaulatkan seni silat sebagai budaya bangsa yang bernilai tinggi.

    4. Menggembling tenaga untuk meneliti peranan silat Melayu dalam membangunkan budaya negara.

    5. Meneliti kembali hala tuju pertubuhan Silat Melayu dalam arus permodenan dan tekanan budaya asing.

    6. Melahirkan semangat berkerjasama dalam kalangan ahli-ahli persatuan Silat Melayu dengan berinteraksi dan melaksanakan aktiviti bersama.

    7. Mendedahkan dan mempromosi Silat Melayu dalam kalangan masyarakat dan pentadbir negara agar budaya asli negara ini tetap unggul demi mengekalkan jati diri bangsa.

    8. Melestarikan kebudayaan masyarakat Melayu yang kian terhakis akibat kemasukan budaya asing yang merosakkan institusi masyarakat.

    9. Mendedahkan dan mempromosi Silat Melayu dalam kalangan masyarakat dan pentadbir agar budaya asli ini tetap unggul demi mengekalkan jati diri bangsa.

    10. Merungkai dan menjawab isu-isu “mono-race & mono religion” yang dikaitkan dengan perjuangan Seni Silat Cekak Malaysia.

    11. Merungkai dan merumus konsep kokurikulum berpersatuan dalam mentadbir dan mengurus kokurikulum Seni Silat Cekak Malaysia di IPT.

    12. Menjelaskan adab dan adat dalam Seni Silat Cekak Malaysia dalam konteks agama Islam.

    13. Merungkai dan merumus implikasi kewangan terhadap pelajar, IPT dan organisasi Seni Silat Cekak Malaysia.

    14. Merumus strategi bagi membantu pentadbir IPT menangani permasalahan sosial dan sahsiah graduan IPT bagi menjamin kelestarian negara bangsa.

    15. Merumus strategi bersama bagi memperkukuh pergerakan Silat Melayu dalam menghadapi persaingan budaya bela diri luar negara agar jati diri bangsa Melayu tidak akan pupus oleh pengaruh arus pemodenan kini.